S E R U N A I

JOHOR BAHRU, 6 JUN 2024 – YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi telah merasmikan pelancaran modul penilaian kendiri Halal iaitu i-Bimbing Halal 2.0 dalam aplikasi mobil Verify Halal yang dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (BPH, JAKIM) dengan kerjasama Serunai Commerce Sdn. Bhd pada di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru pada 4 Jun 2024. 

Pelancaran tersebut telah disempurnakan sempena program Halal On Track anjuran BPH JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).  i-Bimbing Halal 2.0 menawarkan fungsi tambahan dengan integrasi institusi perbankan bagi usahawan tempatan yang memerlukan sokongan kewangan untuk memperluaskan operasi dan perniagaan mereka.

i-Bimbing Halal telah dibangunkan untuk memudahkan usahawan menjalankan semakan kendiri bagi mengetahui tahap kesediaan produk atau perkhidmatan mereka sebelum memulakan proses permohonan pensijilan Halal Malaysia. 

Melalui laporan daripada i-Bimbing Halal 2.0 usahawan dapat memahami tahap pematuhan terhadap syarat pensijilan Halal sekaligus mengarahkan usahawan ke langkah seterusnya samada mengisi borang permohonan pensijilan Halal Malaysia, MYeHALAL, mencari pembimbing atau kursus Halal yang bersesuaian, atau memohon bantuan terus daripada institusi kewangan yang ditampilkan.

Berucap dalam majlis Halal on Track yang juga dihadiri oleh usahawan, pemain industri Halal tempatan serta wakil agensi kerajaan Negeri Johor, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa “sektor swasta harus bersama-sama mengembangkan ekonomi dan kesejahteraan negara melalui produk Halal.”

“Diharap dengan inisiatif (i-Bimbing Halal) ini, penyegeraan pengeluaran sijil dapat dilakukan kepada pemohon dalam tempoh 23 hari. Tetapi saya juga yakin sijil Halal dapat dikeluarkan dalam tempoh 15 hari dengan adanya bimbingan pihak JAKIM. Ini satu cabaran, tetapi saya yakin mereka boleh melakukannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata JAKIM telah menerima sebanyak 8,375 permohonan antara Oktober hingga Disember 2023, peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 7,230 permohonan antara Januari hingga September tahun sama.

Turut menghadiri majlis, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang menekankan kepentingan usahawan tempatan memulakan langkah permohonan sijil Halal yang menawarkan peluang pasaran besar di peringkat domestik dan juga global ketika ucapannya.

Dalam pada itu, YBrs. Tuan Haji Mohamad Zamri bin Mohd Shapik, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM melalui satu temuramah ekslusif berkata “Inisiatif i-Bimbing Halal adalah satu langkah besar untuk menggalakkan lebih ramai usahawan Malaysia mempunyai sijil Halal untuk produk atau perkhidmatan mereka. Kami percaya inisiatif ini akan membantu meningkatkan kesedaran usahawan terhadap keperluan pensijilan Halal sekaligus membuat persediaan awal serta memastikan permohonan mereka dapat diluluskan dengan mudah.”

Katanya lagi “Integrasi institusi perbankan di dalam i-Bimbing Halal 2.0 ini diyakini dapat memberi sokongan kewangan kepada pemain industri yang berhasrat untuk membuat pembaikan terhadap perniagaan mereka terutama dalam memenuhi syarat kelayakan pensijilan Halal. Integrasi ini bukan sekadar permohonan pembiayaan semata-mata, malah membantu usahawan dalam penilaian kredit, penyelarasan prinsip muamalat dan khidmat nasihat dari pihak bank.”

“i-Bimbing Halal telah terbukti membantu usahawan menjalankan penilaian kendiri dalam memastikan tahap pematuhan terhadap standard pensijilan Halal Malaysia serta mengurangkan kegagalan permohonan sijil Halal. Sejak pelancarannya pada Oktober 2023, seramai 15,000 pengguna telah mendapat manfaat daripada modul ini. Verify Halal kini menambah peranan institusi perbankan di dalam i-Bimbing Halal 2.0 untuk membantu para usahawan mendapatkan bimbingan kewangan yang tepat” jelas Dato Dr Lukman Ibrahim, Ketua Pengarah Eksekutif, Serunai Commerce Sdn. Bhd.

Dalam era globalisasi dan digitalisasi yang semakin pesat, kesedaran pengguna untuk mengutamakan produk makanan dan minuman Halal semakin meningkat, menunjukkan kepentingan syarikat-syarikat terutamanya di Malaysia mempunyai pensijilan Halal. Justeru, modul i-Bimbing Halal 2.0 bukan sahaja dapat membantu usahawan tempatan membuat persediaan awal untuk memohon pensijilan Halal Malaysia malah menambahbaik perniagaan melalui kerjasama dengan institusi kewangan dengan beberapa klik, tambah Dato Dr Lukman Ibrahim.

Serunai Commerce, pembangun aplikasi Verify Halal, turut menyokong usaha ini sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memudahkan usahawan di Malaysia mendapatkan bantuan dan bimbingan kewangan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Serunai Commerce dan ekosistem Digital Halal yang dikendalikannya juga diiktiraf oleh Bank Pembangunan Islam (IsDB) melalui Reverse Linkage; modaliti Kerjasama Selatan-Selatan dan Segi Tiga IsDB, yang memudahkan penggunaannya di Indonesia dan Uganda. Selanjutnya, negara-negara anggota IsDB yang lain, seperti Maldives, Bangladesh dan Nigeria, turut menyatakan minat untuk mengadopsi sistem ini melalui modaliti Reverse Linkage Bank.

Dengan pelancaran penilaian kendiri i-Bimbing Halal 2.0 ini, Malaysia terus memantapkan kedudukan sebagai pemimpin dalam industri makanan dan minuman Halal. Kejayaan ini akan membawa manfaat kepada semua pihak, dari pengeluar makanan dan minuman hingga pengguna yang ingin yakin bahawa produk yang mereka beli adalah Halal dan berkualiti tinggi.

Leave a Comment