S E R U N A I

ANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Serunai Commerce Sdn Bhd (Serunai) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam Program Pensijilan Halal Bank Muamalat.

Melalui MoU tersebut, Serunai telah dilantik sebagai konsultan rasmi bagi Program Pensijilan Halal Bank Muamalat dalam usaha bersama kedua-dua entiti tersebut untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan B40 sekaligus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.

Program Pensijilan Halal Bank Muamalat merupakan sebuah program khas bagi memberikan bimbingan dan kursus latihan percuma kepada usahawan sehingga mereka berjaya memperoleh Sijil Halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat komited dalam mendukung usaha kerajaan bagi memajukan industri halal melibatkan usahawan tempatan dalam mencipta Kehidupan Lebih Baik, Bersama.

Selaras dengan perkembangan ekonomi semasa, industri ini dilihat sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Industri halal ini menawarkan satu sumber pendapatan ekonomi yang baik untuk mereka. Justeru itu, sokongan yang mampan dan berterusan perlu diberi.

“Bank Muamalat mendukung usaha-usaha untuk meramaikan lagi pemain di dalam industri halal atas dasar tanggungjawab sebagai warga korporat dan juga fardu kifayah,” katanya dalam Majlis Menandatangani MoU Program Pensijilan Halal Antara Bank Muamalat dan Serunai.

Tambah Khairul, melalui MoU yang ditandatangani hari ini, Serunai dipilih sebagai konsultan kepada Program Pensijilan Halal Bank Muamalat.

“Bank Muamalat akan bekerjasama dengan Serunai selaku konsultan, menilai kepada rekod mereka yang sangat baik dalam membimbing usahawan-usahawan sehingga berjaya mendapat Sijil Halal oleh JAKIM.

“Selain JAKIM, Serunai juga giat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dalam proses membantu peserta-peserta program mendapatkan sijil halal,” katanya.

Kriteria usahawan yang mahu menyertai program ini adalah seperti berikut:
● Golongan asnaf dan B40;
● Syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM);
● Syarikat tidak muflis;
● Syarikat beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan; dan
● Premis mempunyai lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang masih sah.

Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai Program Pensijilan Halal Bank Muamalat,
sila layari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi
cawangan Bank Muamalat terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat
Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500.

Sumber: https://utusantv.com/2024/03/11/bank-muamalat-serunai-kerjasama-tawar-bimbingan-percuma-bantu-usahawan-b40-peroleh-sijil-halal-jakim/

Leave a Comment