S E R U N A I

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2024 – Forum Halal sempena Pameran Food & Drinks Malaysia 2024 (FDM2024), yang diadakan pada 2 Julai 2024, telah menyatukan badan kerajaan, pemimpin dan pemain industri, selebriti, serta pempengaruh dalam satu acara yang dinamik.

Forum yang berlangsung di  Dewan 4, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala  Lumpur, merupakan perhimpunan ringkas penuh signifikan yang menekankan tanggungjawab pelbagai pihak dalam mempromosikan Halal serta memupuk perbincangan serta kerjasama yang bermakna.

Forum itu menampilkan tiga slot pembentangan serta perbincangan panel yang  berdiskusi tentang perkembangan industri Halal global, isu-isu pensijilan dan pematuhan, aktiviti dan strategi import-eksport produk Halal, dan mengetengahkan aspek pemasaran dan penjenamaan produk Halal oleh pelbagai pihak.

Forum tersebut turut menampilkan  Prof Dato’ Chef Zam, seorang chef selebriti, dan Hafiz Hamidun, selebriti dan penyanyi nasyid tanah air sebagai ahli panel jemputan.

Forum Halal itu dianjurkan oleh Verify Halal dari Serunai Commerce Sdn Bhd, dengan kerjasama Comexposium Asia Pacific, sebagai penganjur pameran FDM2024.

Forum itu  dihadiri oleh 200 peserta dalam kalangan pemain industri Halal, makanan dan minuman,  kosmetik, ahli dewan perniagaan, agensi kerajaan, ahli profesional, rakan media dan  pencipta kandungan.

Amnah Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Serunai menyatakan,

Industri Halal mengalami pertumbuhan luar biasa sejak beberapa tahun ini, dengan pasaran Halal diunjurkan mencecah USD 5 trilion menjelang 2030. Peningkatan ini didorong oleh peningkatan kesedaran bahawa pensijilan Halal dapat memastikan keaslian, kesucian dan kualiti produk yang konsisten. Oleh itu, usaha yang lebih besar daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk mempromosikan Halal dari pelbagai perspektif untuk mencapai objektif ini.

Lebih menarik, forum ini turut menampilkan beberapa pembentang dari bidang berbeza  yang disegani dalam industri Halal global.

Antaranya, iaitu En Aminuddin Mat Ariff dari ibu pejabat Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IsDB) yang berpangkalan di Jeddah, En Mohd Hashim Talib dari Ayam Brand, En Woo Wee Kang dari Clara International Beauty Sdn Bhd, dan Ustaz Mohd Amri Abdullah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang juga terkenal dengan peranannya sebagai moderator rancangan MyHalal di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1.

Encik Aminuddin Mat Ariff berucap ketika pembentangannya, “IsDB menyokong  pertumbuhan industri Halal melalui modaliti Reverse Linkage yang memupuk kerjasama antara negara-negara OIC terutama yang mempunyai kepakaran Halal yang kukuh seperti Malaysia dengan negara yang sedang membangunkan industri Halalnya. Kolaborasi ini memfokuskan perkongsian pengetahuan, kepakaran dan pelbagai sumber dalam menggalakkan pertumbuhan, inovasi, meningkatkan daya tahan industri serta daya saing global. Hubungan strategik ini memastikan manfaat jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan yang terlibat”.

Ustaz Mohd Amri dalam pembentangannya turut menyatakan, “JAKIM sebagai badan  pensijilan Halal di Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha dalam memastikan maklumat yang tepat tentang Halal kepada pengguna dan pemain industri, dan  menggalakkan keutamaan kepada produk-produk yang telah dipersijilkan Halal. Oleh  sebab itu, JAKIM bersama rakan strategiknya, Serunai Commerce telah membangunkan teknologi dan inovasi seperti aplikasi mobil Verify Halal bagi membantu pengguna mencari dan mengesahkan produk yang telah dipersijilkan Halal, sekaligus melawan isu-isu viral yang tidak sahih berkaitan produk Halal”.

Encik Mohd Hisham turut berkongsikan bahawa pemain industri perlu lebih kreatif dalam  memasarkan produk Halal tempatan ke luar negara. Contohnya membuat kajian pasaran mengenai penerimaan pengguna terhadap suatu produk.

Contohnya, Ayam Brand telah berjaya memasarkan produk-produk Halal yang menarik seperti petai, produk vegetarian, kuah sate dalam tin dan sebagainya melalui kajian dan pemantauan menyeluruh termasuk aspek pensijilan Halal serta kerjasama strategik dengan syarikat tempatan.

Menurut Encik Woo Wee Kang yang juga merupakan Ahli Sub-Komiti Tugas Halal, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Halal bukan sekadar kepatuhan kepada agama semata-mata namun pembuktian bahawa produk tersebut menepati aspek kualiti, kebersihan serta keselamatan produk.

Dengan keyakinan inilah, Clara International menjadi antara syarikat pertama di Malaysia dalam industri kosmetik yang memperoleh pensijilan Halal untuk rangkaian produknya yang juga berjaya dalam  pasaran antarabangsa.

Turut berkongsi dalam sesi perbincangan panel, Hafiz Hamidun berpendapat bahawa selebriti dan pempengaruh harus juga dilibatkan dengan aktif dalam usaha  mempromosikan agenda dan produk Halal.

Prof Chef Zam pula menyokong kenyataan tersebut dengan menegaskan bahawa dunia kulinari dan industri Halal tidak dapat x5dipisahkan terutamanya dalam pengurusan bahan mentah untuk makanan dan  minuman serta restoran-restoran Halal.

Forum Halal kali ini telah berjaya merapatkan lagi hubungan antara pelbagai pihak dalam industri Halal serta menekankan kepentingan mempromosikan Halal melalui pelbagai saluran.

Topik perbincangan juga telah merangsang pemikiran dan pandangan daripada pemimpin industri, selebriti dan pempengaruh, malah menetapkan penanda aras baharu  untuk kerjasama dan inovasi dalam pasaran Halal.

Mudah-mudahan komitmen pelbagai  pihak dalam aktiviti promosi komprehensif sebegini akan terus memacu pertumbuhan dan pengiktirafan produk Halal di peringkat global.

Leave a Comment