S E R U N A I

NEW DELHI, 20 Jan — Syarikat Malaysia, Serunai Commerce bekerjasama dengan Atoba Business Networks Private Limited yang berpangkalan di Mumbai untuk menubuhkan platform perdagangan baharu di Hyderabad, India untuk mempromosi perniagaan halal.

Pusat kecemerlangan halal yang dilancarkan di hab perniagaan selatan India bersempena Ekspo Halal Antarabangsa India yang julung kali diadakan dan berakhir hari ini, akan menawarkan perkhidmatan seperti latihan dalam industri halal, pengurusan kilang, pembangunan kemahiran dan pembinaan kapasiti.

“Kami telah memeterai perjanjian dengan Serunai Commerce untuk menawarkan perkhidmatan pensijilan halal. Kami akan memulakan latihan juruaudit halal oleh pakar yang diluluskan JAKIM,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Atoba, Muazzam Naik kepada Bernama.

Beliau berkata pusat itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di India untuk mengamalkan kaedah teknikal dan pengurusan termaju dalam pengauditan halal.

“Pusat ini akan memperkasa industri halal dengan menyediakan platform yang akan menghubungkan pasaran berbeza dan memperluas capaiannya,” kata beliau.

Beliau berkata piawaian industri halal Malaysia yang diterima oleh pengguna dan syarikat di peringkat global akan menjadi penanda aras pusat tersebut.

Ekspo itu yang bermula Sabtu telah menarik penyertaan 115 pempamer termasuk syarikat Malaysia dan pakar industri selain dihadiri ribuan pengunjung.

Leave a Comment