S E R U N A I

Tuan Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM

Selama sembilan tahun berturut-turut Malaysia kekal menduduki tempat pertama di dalam Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) 2022 sebagai sebuah negara yang kompetitif dan berdaya saing dalam membangunkan industri Halal di dalam dan luar negara. Hal ini juga disokong oleh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan industri Halal negara telah menyumbang sebanyak 7.4% kepada keseluruhan KDNK tahun 2022 dan dijangkakan sumbangan industri Halal akan terus meningkat pada tahun – tahun mendatang dengan jangkaan industri ini akan menyumbang RM 400 bilion atau 11% KDNK pada tahun 2030.

Lantas, apakah yang menyebabkan industri Halal di Malaysia kekal utuh dan berdaya saing?

Kerajaan Malaysia meletakkan komitmen yang amat tinggi dalam pembangunan dan pemerkasaan industri Halal negara. Hal ini dibuktikan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri ini semenjak lebih 30 tahun yang lalu. Negara kita sudah acapkali diiktiraf sebagai negara yang terkemuka dengan persijilan Halal kerana Malaysia mempunyai piawaian dan prosedur pensijilan halal yang kukuh dan komprehensif termasuklah Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) yang telah digunakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek rantaian bekalan Halal, termasuk sumber, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran. Malaysia juga telah menjadi negara pertama dunia yang mengeluarkan standard halal secara menyeluruh dan meluaskan konsep halal kepada beberapa skim lain seperti farmaseutikal, logistik, peranti perubatan dan kosmetik melalui pembangunan standard yang telah dibangunkan melalui Jabatan Satandard Malaysia. 

Buktinya, seawal tahun 2004, Malaysia telah memperkenalkan MS1500:2004 iaitu garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan halal atau peraturan asas produk makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan. Standard halal Malaysia tersebut kemudiannya telah diguna pakai di peringkat antarabangsa dan mendapat kepercayaan negara-negara OIC sebagai peneraju standard halal di antara negara-negara Islam.

Kerjasama utuh di kalangan agensi dan pemain industri telah menjadi penyumbang utama dalam membangunkan ekosistem Halal yang berdaya saing dan kompleks. Hasilnya, Malaysia berjaya menjadi destinasi utama bagi syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk mendapatkan pensijilan Halal melalui prosedur dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa iaitu JAKIM/ MAIN. Pemerolehan Sijil Pengesahan Halal Malaysia merupakan suatu pengiktirafan tertinggi bagi menentusahkan status kehalalan sesuatu produk atau perkhidmatan pada masa kini. Ini adalah kerana Malaysia sudah terkenal sebagai pelopor utama kepada pembangunan prosedur Halal yang ketat baik di rantau Asia mahupun di peringkat global. Pencapaian JAKIM yang telah diakreditasi oleh MS ISO/IEC 17065:2012 memperkuatkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pensijilan Halal dunia.

Malaysia menerusi JAKIM juga menjadi pusat rujukan utama bagi pensijilan Halal di peringkat global. Ini terbukti dengan penganjuran Halal Conferrence of Certification Bodies saban tahun yang kini telah memasuki edisi ke 12 dengan penyertaan seramai 500 delegasi dari seluruh dunia. Badan Pensjilan Halal dari pelbagai negara di seluruh dunia telah mengadaptasi standard dan piawaian Halal yang telah dibangunkan oleh Malaysia sebagai satu usaha untuk mendapat pengiktirafan dari JAKIM. Sehingga artikel ini ditulis, terdapat 83 badan pensijilan halal dari 46 buah negara telah mendapat pengiktirafan dari JAKIM.

Adakalanya status Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sangat berprestij cuba untuk dimanipulasi dan disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai langkah berhati-hati di dalam memastikan keabsahan status Halal sesuatu produk, masyarakat dan pemain industri boleh memuat turun aplikasi Verify Halal dan SmartHalal di peranti telefon pintar mereka bagi menentu sah status Halal produk dalam dan luar negara. Aplikasi Verify Halal yang telah dibangunkan dengan kerjasama pihak Serunai commerce dan JAKIM dan aplikasi SmartHalal yang dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Dermaga Oil & Gas memainkan peranan sebagai aplikasi yang tuntas dari segi maklumat Halal sesuatu produk yang di daftar di Malaysia dan juga di iktiraf oleh badan pensijilan Halal antarabangsa yang mempunyai pengiktirafan dari JAKIM.

Dalam masa yang sama, JAKIM sentiasa komited dalam menangani isu-isu halal yang menular di media sosial secara berulang pada setiap tahun. Untuk makluman, sehingga kini JAKIM telah mengeluarkan lebih daripada 117 penjelasan rasmi berkenaan isu-isu halal yang menular di media sosial yang boleh dicapai oleh pengguna melalui Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM. Dokumentasi ini dilihat penting bagi memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna serta menafikan sesuatu dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Selain itu, bagi memastikan penyaluran maklumat yang tepat kepada pengguna berhubung perkembangan terkini industri halal di dalam dan luar negara, JAKIM melihat masyarakat perlu sentiasa celik dan cakna mengenai isu – isu semasa dan status kehalalan sesuatu produk kerana ia merupakan tanggungjawab seorang mukmin itu untuk mempunyai asas kefahaman yang betul.

Selari dengan objektif tersebut, pihak Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM akan mengadakan program Celik Halal bersama Imam peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 10 Mei 2023 ini. Program Celik Halal Malaysia merupakan satu inisiatif rahmah kesedaran halal yang dibuat oleh JAKIM melalui Bahagian Pengurusan Halal bagi menyantuni dan menyajikan info-info halal terkini kepada para pengguna dari pelbagai peringkat dan latar belakang agar sentiasa cakna dengan penjelasan isu-isu halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti khususnya JAKIM dan JAIN dari semasa ke semasa. Terdahulu, program seumpama ini telah dilaksanakan kepada mahasiswa seluruh Malaysia pada tahun 2021, manakala sasaran kepada guru KAFA pada tahun 2022. Justeru, tahun ini buat pertama kalinya JAKIM menyasarkan penglibatan golongan imam dalam Program Celik Halal Malaysia agar maklumat dan isu-isu halal semasa dapat disalurkan secara langsung kepada mereka selaku pihak yang dekat dan sering menjadi rujukan masyarakat dalam hal ehwal berkaitan agama. Program ini juga diharapkan dapat menyemai perpaduan dan dakwah halal Malaysia yang berkonsepkan madani dalam kalangan imam dan guru takmir agar informasi yang disampaikan dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada kariah Masjid atau surau masing-masing.

Leave a Comment